Wednesday 4 April 2012

LHDN sasar pungut cukai RM110 billion tahun iniLHDN sasar pungut cukai RM110 billion tahun ini


4 April 2012

KUALA LUMPUR - Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menyasarkan pungutan cukai
berjumlah RM110 bilion tahun ini, lebih tinggi daripada RM109.674 bilion
yang dipungut tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Mohd Shukor Mahfar, berkata setiap
tahun kira-kira 50 peratus penerimaan cukai adalah daripada syarikat, 25
peratus daripada petroleum, 17 peratus daripada individu dan selebihnya
daripada bentuk cukai lain.

Beliau berkata berita tentang rancangan Petronas untuk menurunkan dividen
tahunannya kepada kerajaan tidak membimbangkan LHDN kerana pendapatan akan
disumbangkan oleh kawasan-kawasan cari gali minyak baharu.

Mohd Shukor berkata LHDN juga menyasarkan 2.8 juta pembayar cukai yang
bakal menjadi peserta e-filing tahun ini, daripada 2.5 juta yang
menggunakan sistem e-filing tahun lepas.

"Kami juga akan mengemukakan cadangan agar e-filing dijadikan mandatori di
negara ini," katanya selepas Seminar "Money Compass Tax" 2012 di sini hari
ini.

Mohd Shukor berkata penambahbaikan terbaru bagi musim pemfailan 2012 ialah
pengenalan pemfailan mudah alih atau m-filing bagi pembayar cukai individu,
yang merupakan pengubahsuaian kepada e-filing, yang disasarkan kepada
pembayar cukai Generasi X dan Generasi Y yang memiliki telefon pintar.

Beliau berkata pembayar cukai individu yang memilih untuk mengemukakan
borang mereka melalui e-filing kini diberi masa hingga 15 Mei untuk berbuat
demikian.

Sebelum ini, tarikh tutup ditetapkan pada 30 April.- Bernama

No comments:

Post a Comment